ADUN Muara Tuang Serah Bantuan Wang Ihsan Kepada 46 Ketua Isi Rumah

UKAS  > Edisi-Selatan >  ADUN Muara Tuang Serah Bantuan Wang Ihsan Kepada 46 Ketua Isi Rumah
0 Comments

SELASA, 14 FEBRUARI 2023

KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang menyerahkan Bantuan Wang Ehsan Bencana Banjir kepada 46 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Isnin.

Jelasnya, bantuan tersebut melibatkan 178 mangsa banjir dari kawasan DUN Muara Tuang pada akhir tahun 2022.

“Seperti sedia maklum, Daerah Samarahan tidak lari daripada bencana banjir dan terdapat tempat yang menghadapi banjir dan alhamdulillah pada tahun lepas bencana banjir kurang daripada sebelum ini namun kita tidak boleh leka kerana banjir boleh berlaku bila-bila masa.

“Dalam masa sama, peranan ketua kaum dan ketua masyarakat amat penting dalam melaporkan keadaan banjir di setiap tempat masing-masing jika hujan lebat tanpa henti berlaku yang boleh mengakibatkan banjir kilat dan menasihatkan mangsa banjir untuk berpindah ke tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan,” katanya semasa majlis berkenaan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, bagi penerima bantuan diharap bantuan wang ihsan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang dihadapi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan petugas semasa banjir seperti pihak Pejabat Daerah Samarahan, PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan Rela yang sentiasa membantu memindahkan mangsa banjir dengan segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sijil perlantikan kepada Ketua Kaum Ketua Masyarakat Daerah Samarahan dan berharap mereka yang dilantik menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab di atas kemajuan dan keselamatan kampung serta memberi perkhidmatan kepada orang ramai serta menjalin hubungan dengan komuniti.

Turut hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Wakil Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, ASP Austin Patrick Angkon dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammad Yaakob Morshidi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *