Pengambilalihan SeDidik Komitmen KPWK Pastikan Kanak-Kanak Dapat Pendidikan Awal Berkualiti

UKAS  > Edisi-Utara >  Pengambilalihan SeDidik Komitmen KPWK Pastikan Kanak-Kanak Dapat Pendidikan Awal Berkualiti
0 Comments

AHAD, 19 FEBRUARI 2023

TATAU: Pengambilalihan SeDidik merupakan komitmen Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) untuk memastikan setiap lapisan kanak-kanak di negeri ini mendapat pendidikan awal yang berkualiti.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus memberitahu, perkara tersebut membolehkan KPWK mematau dan menguruskan SeDidik dengan lebih teratur serta membuat program tambahan untuk pemerkasaan pendidikan kanak-kanak.

Menurutnya, SeDidik tidak jauh berbeza berbanding tadika kerajaan ataupun swasta, cuma beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menambah kemahiran para pelajar di situ.

“Kita menerapkan kaedah ‘belajar sambil bermain dan bermain sambil belajar’.

“Terdapat juga penambahan kepada kokurikulum sedia ada termasuk menerapkan seni dan budaya seperti kraf dan muzik.

“Ini kerana kita harapkan anak-anak ini bukan sahaja bijak dalam akademik malahan juga pandai bergaul, berinteraksi serta membawa diri dalam apa juga keadaan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tadika SeDidik Rumah Sipok di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menegaskan, SeDidik merupakan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang terbuka di mana anak-anak istimewa yang masih mampu mendapat pendidikan turut diterima sebagai pelajar.

Antara turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KPWK, Salina Bujang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah dari Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Norsiah Abu Bakar dan Pengurus Kanan Sektor Pendidikan Korporat SeDidik Sdn Bhd, Siti Rodziah Bunsu Drahman. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *