KPWK Tekad Tingkatkan Permohonan EFS, BIB

UKAS  > Edisi-Tengah >  KPWK Tekad Tingkatkan Permohonan EFS, BIB
0 Comments

SELASA, 21 FEBRUARI 2023

SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) komited dalam usaha meningkatkan permohonan Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata, mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian, permohonan itu perlu ditingkatkan kepada 90 peratus tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata pada 2022 hanya 72 peratus permohonan EFS daripada 32,740 kelahiran direkodkan manakala bagi BIB hanya 80 peratus daripada 26,687 direkodkan di Sarawak.

“Kita mahu melihat peningkatan dari segi permohonan. Bantuan ini adalah inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memberi manfaat kepada rakyat. Oleh itu, kita mesti mencapai sasaran 90 peratus sebagaimana KPI yang telah ditetapkan.

“Apa yang perlu kita lakukan, pertama kita telah membuat permohonan secara online di mana kita boleh memohon pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja. Kita tidak perlu lagi pergi ke jabatan atau agensi kerajaan untuk memohon. Asalkan semua dokumen lengkap, ini lebih mudah terutama di kawasan yang mempunyai liputan internet.

“Bagi kawasan yang tidak mempunyai liputan, mereka perlu menggunakan kaedah manual,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Wad Bersalin di Hospital Sibu pada Selasa.

Dato Seri Fatimah juga berkata EFS diperkenalkan kerajaan negeri pada 2019 dan mendapat sambutan menggalakkan dengan 80 peratus permohonan daripada 36,117 pendaftaran kelahiran.

Pada 2020 permohonan telah meningkat kepada 85 peratus, sebelum menurun secara drastik kepada 69 peratus semasa pandemik Covid-19 pada 2021.

Ujarnya, dalam tempoh pasca Covid-19 pada 2022, permohonan meningkat kepada 72 peratus kerana terdapat peningkatan dari segi kelahiran ketika itu iaitu 32,740 kelahiran.

Sementara itu, bantuan BIB yang bermula pada 2020, tidak mendapat sambutan di mana hanya 65 peratus ibu yang bersalin memohon.

Bagaimanapun, permohonan itu meningkat kepada 83 peratus pada 2021.

“Pada 2022 berlaku penurunan permohonan BIB kepada 80 peratus daripada jumlah keseluruhan 26,687 ibu bersalin di Sarawak.

“Oleh itu, semua pihak perlu membantu menyebarkan berita ini supaya inisiatif itu dapat memberi manfaat kepada golongan sasar,” katanya lagi.

Menurutnya, EFS merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dengan pemberian RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah bagi setiap kelahiran anak Sarawak mulai 2019, tanpa mengira bangsa, agama, atau status sosio-ekonomi.

BIB yang diperkenalkan pada 2020 melibatkan pemberian bantuan ‘one-off’ sebanyak RM450 tunai kepada setiap ibu berstatus ‘K’ atau isteri pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’ yang melahirkan anak.

BIB membantu keperluan ibu selepas bersalin, seperti pemakanan sihat dan penjagaan diri semasa dalam tempoh berpantang, tanpa mengira bangsa, agama, atau status sosioekonomi.

Dalam lawatan itu, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan bantuan kepada dua penerima BIB dan EFS iaitu Sundai John Mikai dan Sharifah Nur Hazlindawatien Wan Sapare. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *