Pengusaha Kedai Makan Disyor Sertai Program Menu Rahmah

UKAS  > Edisi-Utara >  Pengusaha Kedai Makan Disyor Sertai Program Menu Rahmah
0 Comments

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2023

MIRI: Pengusaha kedai makan atau restoren di Sarawak disyorkan untuk menyertai inisiatif Program Menu Rahmah (PMR) di premis mereka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, inisiatif program berkenaan merupakan usaha kerajaan bagi membantu dan mengurangkan kos sara hidup untuk golongan kurang berkemampuan.

“Kita menyediakan menu rahmah ini bagi golongan yang kurang mampu dan inisiatif ini tiada paksaan.

“Ia bersifat sebagai ‘private driven initiative’ daripada pengusaha kedai makan ataupun mana-mana restoren dan kalau kita lihat dari sudut makanan masih sama cuma kuantiti makanan tersebut dikurangkan dan harganya RM5 ke bawah.

“Bukan kita nak bersaing dengan pengusaha lain tetapi kita menggalakkan kepada mereka yang mampu untuk menyertai dan mana yang tidak mahu menyertai tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian keika ditemui media selepas menyempurnakan pelancaran Menu Rahmah di Valley Café, Pusat Komersial Pujut 7 di sini pada Khamis.

Matthew memaklumkan, bagi menyertai inisiatif program menu rahmah ini, pengusaha tidak perlu membuat permohonan dan hanya menggunakan inisiatif masing-masing untuk menyediakan menu rahmah yang harganya di bawah RM5 serta mengandungi sumber protein, vitamin, karbohidrat dan air.

Beliau turut menyeru kepada pengusaha kedai makanan yang ingin menyertai Program ‘Menu Rahmah’ untuk memaklumkan KPDN bagi tujuan membantu pengusaha membuat promosi serta berkongsi idea pelaksanaan.

Selain itu katanya, pengusaha juga perlu menentukan sendiri menu PMR, menentukan masa pelaksanaan PMR iaitu sama ada makan tengah hari atau malam, menentukan kuantiti hidangan serta membuat penanda untuk memberitahu kewujudan PMR di premis tersebut.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 45 buah restoren di Sarawak telah menyediakan Menu Rahmah setakat ini dan ini termasuk lima premis yang menawarkan Menu Rahmah makanan tidak halal.

Dalam pada itu, pemilik restoren Valley Cafe, Lucillimus Cicero Mambang ketika ditemui memberitahu, “Program Menu Rahmah ini tidak merugikannya dan masih ada sedikit keuntungan.

“Namun kita ingin berkongsi dan memberi serba sedikit bantuan kepada yang kurang berkemampuan,” katanya. – Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *