Belanjawan 2023 Martabatkan MA63 Di Sabah Dan Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Belanjawan 2023 Martabatkan MA63 Di Sabah Dan Sarawak
0 Comments

JUMAAT, 24 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Persekutuan komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Fadillah memberitahu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju memuktamadkan Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi Sarawak dengan jumlah pemberian khas sekurang-kurangnya RM300 juta.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak bagi projek sehingga RM50 juta untuk mempercepatkan pembangunan.

Selain itu katanya, Sabah dan Sarawak telah menerima peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2023 berbanding Belanjawan 2022.

“Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022 manakala Sabah menerima peruntukan berjumlah RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu menambah, ini membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

“Belanjawan 2023 berfokus kepada projek jalan utama Sabah-Sarawak, jalan di sempadan dan menaiktaraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan.

“Pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak juga akan diperkasakan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuhraya Pan Borneo Sabah serta Sabah Sarawak Link Road dengan jajaran lebih 1,000 kilometer,” jelasnya.

Katanya lagi, dari segi kemudahan kesihatan, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion bagi penyelenggaraan 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *