Golongan Wanita Harus Terima Cabaran Sebagai Pemimpin

UKAS  > Edisi-Utara >  Golongan Wanita Harus Terima Cabaran Sebagai Pemimpin
0 Comments

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

BINTULU: Golongan wanita merupakan tulang belakang yang menyokong agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir Alice Jawan Empaling memberitahu, setiap wanita harus menerima cabaran khususnya sebagai seorang pemimpin.

Menurutnya, ini termasuk ketika menerajui persatuan masing-masing.

Oleh itu katanya, Kursus Kepimpinan Ketua-Ketua Wanita Dayak akan terus diadakan di beberapa zon di Sarawak untuk melengkapkan golongan tersebut dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

Dato Ir Alice berkata demikian dalam majlis penutupan kursus tersebut yang diadakan di sini pada Sabtu.

Beliau menambah, SIDS sebagai sebuah persatuan Dayak terus berkembang maju dan turut serta dalam menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Sementara itu, Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk Kajian Wanita Datuk Profesor Dr Jayum Jawan berkata, kursus tersebut memberikan ilmu pengetahuan berkaitan adat istiadat kepada pemimpin komuniti tempatan.

Kursus selama dua hari anjuran Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) ini telah dihadiri kira-kira 100 peserta dari kalangan ahli SIDS Cawangan Bintulu dan tuai-tuai rumah dari kalangan wanita di daerah Sebauh.

Sebanyak empat topik utama yang dibincangkan antaranya mengenai Adat Istiadat Dayak Iban oleh Ketua Majlis Adat Istiadat Datu Ronnie Edward, Sistem Politik dan Kerajaan dari Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM oleh Prof Madya Dr Mahadee Ismail, Amalan Komuniti Efektif oleh Dr Charlie Dudang dan Kepimpinan: Teori, Konsep dan Amalan yang dibentangkan oleh Datuk Profesor Dr Jayum Jawan.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi SIDS Cawangan Kemena Jenny Banga dan Pemanca Daerah Sebauh Limin Anai. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *