Projek Untuk Kampung Selalang Dikenalpasti

UKAS  > Edisi-Tengah >  Projek Untuk Kampung Selalang Dikenalpasti
0 Comments

JUMAAT, 3 MAC 2023

SARIKEI: Beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan di Kampung Selalang di sini dengan kerjasama Pejabat Daerah Sarikei dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Negeri Sarawak.

Antara projek berkenaan adalah Naiktaraf Jeti Kampung, Naiktaraf Sistem Perparitan dan Pembinaan Dewan Masjid Al-Ansar Kampung Selalang.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh telah melakukan lawatan kerja bagi mendengar taklimat berkaitan projek yang bakal dilaksanakan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu turut mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk bagi mendengar keluhan mereka berkaitan isu-isu kampung yang masih belum diselesaikan.

Semua projek yang disampaikan telah dipohon melalui Pejabat Daerah Sarikei dan kini sedang menunggu kelulusan dari Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Negeri Sarawak.

Sebelum itu beliau juga turut mengadakan lawatan ke kawasan Kerubong bersama tuai-tuai rumah bagi melihat sendiri projek pembinaan jalan perkuburan kaum Iban yang telah siap.

Projek jalan simen sepanjang 200 meter bernilai RM200,000 yang telah siap pada Februari 2023 akan memudahkan proses pengkebumian masyarakat Iban di sekitar Kerubong dan Kerapa.

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sarikei Ainul Yazmin, Jurutera Awam Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Negeri Sarawak Fakhrur Rezuan Mahamad dan Ketua-ketua Masyarakat. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *