Terus Paparkan Cukai Jalan & Lesen Memandu Secara Fizikal Sekiranya Merentasi Sempadan

UKAS  > Edisi-Utara >  Terus Paparkan Cukai Jalan & Lesen Memandu Secara Fizikal Sekiranya Merentasi Sempadan

AHAD, 5 MAC 2023

LIMBANG: Pihak kerajaan masih dalam perbincangan bersama negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei Darussalam dan Indonesia untuk memaklumkan mengenai kewujudan aplikasi MyJPJ.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, ia susulan keputusan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutamanya bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di Limbang agar terus memaparkan cukai jalan dan lesen memandu secara fizikal sekiranya ingin merentasi sempadan buat tempoh pelaksanaan awal ini.

“Ini memandangkan kedudukan daerah Limbang yang agak unik kerana berada di tengah-tengah negara Brunei.

“Jadi, pada peringkat awal ini rakyat Malaysia yang memasuki negara jiran itu sebaiknya memaparkan cukai jalan dan membawa bersama lesen memandu masing-masing secara fizikal,” katanya dalam Program JPJ Bersama Anda anjuran JPJ Cawangan Limbang di Dewan KEMAS Limbang pada Sabtu.

Program tersebut dianjurkan bagi memberikan penerangan lanjut mengenai aplikasi-aplikasi yang dibangunkan oleh JPJ termasuk MyJPJ kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota.

Datuk Hasbi menyambut baik program seumpamanya sebagai platform memberikan pencerahan kepada orang awam secara lebih interaktif dan berharap ia akan terus dianjurkan di kawasan-kawasan lain khususnya kawasan luar bandar.

“Saya juga menggesa orang ramai agar memuat turun aplikasi MyJPJ ke dalam telefon pintar masing-masing kerana ia menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan.

“Sekiranya masih terdapat kekeliruan mengenai aplikasi tersebut, KMKK serta warga awam boleh mengunjungi kaunter JPJ Limbang untuk mendapatkan pencerahan lanjut,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Sarawak Norizan Jili dan wakil Pegawai Daerah Limbang Muhammad Firhan Iskandar Goh. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *