Tingkat Kesedaran Masyarakat Kepentingan Keselamatan Dan Kebersihan Sungai

UKAS  > Edisi-Utara >  Tingkat Kesedaran Masyarakat Kepentingan Keselamatan Dan Kebersihan Sungai
0 Comments

SABTU, 11 MAC 2023

MARUDI: Penduduk di Kampung Loagan Bunut, Tinjar di sini didedahkan dengan kepentingan keselamatan dan kebersihan sungai serta persekitarannya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep berkata, mereka didedahkan dengan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOT) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) iaitu Program Komuniti Gotong Royong Membersih Sungai serta Kempen Kesedaran Awam Keselamatan dan Kebersihan Sungai.

Beliau berkata, program sedemikian adalah penting terutama sekali untuk penduduk yang bergantung kepada hasil sungai sebagai sumber makanan dan pedapatan mereka.

“Kita turun padang bersama LSS untuk membantu dan memberi kesedaran tentang kebersihan dan kepentingan keselamatan itu untuk hasil makanan dan industri.

“Apabila LSS ditubuhkan pada 30 tahun yang lepas, inilah kerja dan tanggungjawab LSS terutamanya sungai-sungai yang mempunyai penduduk yang mendapat hasil sungai-sungai tersebut.

“Jadi kalau kita tidak menjaga sungai kita, kita tidak mendedahkan kesedaran ini, mereka tidak akan tahu,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan pada Jumaat.

Dato Henry Harry turut menasihati penduduk setempat agar tidak membuang sampah atau sisa buangan ke dalam sungai kerana ia boleh memudaratkan navigasi dan membahayakan komuniti yang menggunakan pengangkutan sungai serta mencemarkan keindahan sungai.

Selain itu, beliau juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pembinaan jeti di pangkalan kampung berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil yang turut berucap juga telah merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur atas pemilihan kampung itu sebagai lokasi program.

Datuk Dr Penguang Manggil turut mengumumkan peruntukan geran projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 untuk kampung itu.

Dalam program sama, Dato Henry Harry telah menyerahkan jaket keselamatan kepada penduduk kampung yang majoritinya merupakan nelayan sungai.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr Murni Suhaili, Pemangku Controller Lembaga Sungai – Sungai Sarawak Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Pemangku Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, dan Ketua Kampung Loagan Bunut Tinjar Denis Jalin.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *