RABU, 15 MAC 2023

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini menerima lesen pertama untuk aktiviti penyimpanan karbon, sekali gus memulakan peranan strategiknya sebagai pengurus sumber bagi sumber penangkapan, penggunaan dan penyimpan karbon (CCUS) semula jadi di negeri ini.

Lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak itu meliputi kawasan yang terletak di Wilayah Luconia Utara, luar pesisiran Bintulu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Janin Girie, kawasan luar pesisir Sarawak dianugerahkan dengan kapasiti penyimpanan karbon terbesar di Malaysia. 

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur CCUS merupakan kunci untuk mengkomersialkan pembangunan rizab gas masam di luar pesisir Sarawak. 

“Sumber gas tambahan yang didapati menerusi CCUS boleh memastikan keselamatan bekalan tenaga dan gas jangka masa panjang untuk negeri ini di samping melengkapkan peralihan tenaga untuk Sarawak dan Malaysia,” katanya. 

Janin berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh PETROS pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan organisasi yang komited dalam mencapai sasaran penyahkarbonan mereka untuk meneroka dan menggunakan potensi CCUS di Sarawak bersama PETROS. 

Jelas Janin lagi, infrastruktur asas CCUS yang ditubuhkan turut boleh diperluaskan lagi untuk membolehkan pihak tempatan mahupun asing menangkap dan menyimpan karbon dioksida, sekaligus membantu mengurangkan kesan pemanasan rumah hijau dan akhirnya boleh merealisasikan ekonomi karbon sifar bersih. 

“Perluasan infrastruktur ini akan mewujudkan peluang perniagaan untuk mengendalikan infrastruktur CCUS dan menjana pendapatan untuk ekonomi Sarawak di samping mengembangkan lagi keupayaan tempatan,” katanya. -EDISI UKAS

add comment