Polis Terus Pastikan Daerah Tatau Selamat Didiami

UKAS  > Uncategorized >  Polis Terus Pastikan Daerah Tatau Selamat Didiami
0 Comments

SELASA, 21 MAC 2023

TATAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Tatau akan terus mengawal serta membanteras sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di sini bagi memastikan daerah ini menjadi kawasan yang selamat untuk didiami.

Ketua Polis Daerah (KPD) Tatau DSP Jame Reis berkata, ini adalah bagi memastikan keamanan penduduk terjamin dan pada masa sama menimbulkan keyakinan orang awam terhadap pihak polis.

Jelasnya, pihak polis juga akan terus mengekalkan hubungan strategik dengan masyarakat awam.

“Jalinan akrab masyarakat sebagai rakan strategik PDRM penting sebagai usaha mencegah jenayah.

“Justeru konsep kepolisan masyarakat terus diperteguh bagi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab ke arah matlamat mewujudkan persekitaran sifar jenayah di negara ini.

“Ini seiring dengan tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ terus dikekalkan pada sambutan Hari Polis pada kali ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau pada Isnin.

Sempena sambutan tersebut, DSP Jame juga menyampaikan sijil penghargaan kepada Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Turut menerima sijil penghargaan ialah penerima-penerima dari kalangan Pegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam serta ketua-ketua jabatan, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) yang telah memberi sumbangan serta sokongan kepada pihak IPD Tatau. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *