Wujudkan Pusat Pemulihan Di Utara Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Wujudkan Pusat Pemulihan Di Utara Sarawak
0 Comments

SELASA, 21 MAC 2023

SUBIS: Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu mewujudkan pusat pemulihan di kawasan utara Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, pusat tambahan ini diperlukan bagi memberikan perhatian lebih terhadap isu penagihan dadah di negeri ini.

Jelasnya, harapan sama turut diutarakan oleh wakil-wakil rakyat di bawah Parlimen Sibuti iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga ADUN Lambir Dr Ripin Lamat.

“Tidak kira sama ada pusat ini dibangunkan di kawasan Miri, Limbang mahupun Lawas. Hal ini supaya kita mempunyai pusat tambahan di Sarawak yang saya rasakan agak luas dan cukup memerlukan perhatian daripada pihak kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi ‘Flag Off’ Jerayawara sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 di Dewan Serbaguna Kampung Subak Jaya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti mencadangkan agar pihak AADK menambah nilai kepada program-program pemulihan yang dijalankan agar setiap klien yang sedang dibimbing mampu menyumbang semula khidmat tenaga bagi pembangunan masyarakat setempat.

Beliau menambah, agensi tersebut juga boleh mempertimbangkan cadangan untuk mempromosikan lokasi pelancongan di negeri ini ketika melaksanakan program pemulihan.

“Contohnya, AADK akan memperluaskan perkhidmatan di kawasan Batu Niah yang terkenal dengan Gua Niah.

“Mungkin dalam elemen pemulihan, kita boleh membawa klien kita untuk menerokai gua itu yang pada ketika ini sedang dicadang untuk diangkat sebagai khazanah dunia,” ujarnya lagi.

Pada program tersebut, turut diadakan acara berbasikal dengan agihan risalah dan sumbangan kepada masyarakat setempat yang memerlukan di Kampung Subak Jaya dan Kampung Tanjung Berlipat.

Turut hadir, Pengarah AADK Negeri Sarawak Iskandar Turkee, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan wakil Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyuddin. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *