Kerajaan Sarawak Peruntuk RM4 Bilion Laksana Projek Bekalan Air Terawat

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Peruntuk RM4 Bilion Laksana Projek Bekalan Air Terawat
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air terawat untuk rakyat di seluruh negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, peruntukan yang cukup besar ini jelas membuktikan kerajaan komited untuk memastikan semua penduduk di seluruh negeri menerima bekalan air bersih tidak kira di mana mereka berada.

“Bagi tujuan sama, pihak kementerian menjalinkan kerjasama erat dengan jabatan atau agensi berkaitan di negeri ini yang mengendalikan pembekalan air bersih bagi memastikan ia mencapai kumpulan sasar terutama di kawasan yang mengalami masalah air kritikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dinner World, Bintulu pada Selasa.

Tambah beliau, projek bekalan air bersih menghadapi cabaran yang cukup besar khususnya Sarawak yang merupakan negeri cukup luas dan besar dengan penempatan berselerak.

Oleh yang demikian katanya, kementerian sedang merangka penubuhan entiti operator yang bakal menggabungkan semua operator air di negeri ini bagi pengurusan air yang lebih efisien.

“Entiti yang akan ditubuhkan itu nanti akan menggabungkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management dalam masa terdekat,” kata beliau lagi.

Mengulas mengenai pengurusan air bersih di negeri ini, Julaihi berkata kementerian akan terus komited melaksanakan projek pembekalan air ke seluruh penempatan di negeri ini kerana ia merupakan keperluan kritikal yang harus dipenuhi demi kesejahteraan hidup rakyat.

Hadir sama ialah, Timbalan Menteri Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, ADUN Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, Pengerusi LAKU Management Sdn Bhd dan Pengerusi Sambutan World Water Day 2023 Datuk Nelson Balang Rining. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *