Tarikh Baru Projek Naik Taraf Jalan Ulu Paku Siap Pada 12 April 2024

UKAS  > Uncategorized >  Tarikh Baru Projek Naik Taraf Jalan Ulu Paku Siap Pada 12 April 2024
0 Comments

SABTU, 25 MAC 2023

SRI AMAN: Projek menaik taraf Jalan Ulu Paku, Undop di sini dijangka siap pada 12 April 2024, selepas mendapat kelulusan Pelanjutan Tempoh Masa (EOT) selama 219 hari.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, projek bernilai RM19.1 juta itu sebelum ini dijadual siap pada 12 Julai 2023 iaitu dalam tempoh 18 bulan mulai 13 Januari 2022.

Namun ujarnya, pihak pelaksana mengalami kelewatan disebabkan konsultan telah mengemukakan perubahan reka bentuk pada pelan asal akibat faktor cuaca.

“Kita difahamkan kemajuan fizikal projek ini setakat Februari 2023 adalah 18.9 peratus. Ketinggalan 58.20 peratus daripada 77.15 peratus yang sepatutnya.

“Kita sangat berharap projek ini berjalan lancar dan kontraktor mesti memberi komitmen sepenuhnya menyiapkan projek dalam tempoh baru yang telah diluluskan.

“Perbanyakkan pekerja dan fasiliti di tapak agar keperluan peralatan kerja sentiasa tersedia. Saya harap tidak ada alasan dan ada jalan penyelesaian untuk mempercepatkan pembinaan,”tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata demikian ketika menghadiri taklimat berkaitan projek berkenaan yang disampaikan oleh Penolong Jurutera Bahagian (ADE) Pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman Bellgalmano Low, di sini pada Jumaat.

Turut hadir semasa taklimat ialah Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Datu Indit Bangai dan wakil dari beberapa agensi yang berkaitan.

Sejurus selepas itu, Datuk Francis berkesempatan meninjau ke cadangan projek menaik taraf penyambungan Jalan Ulu Paku dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paku ke Kampung Sungai Putong seterusnya ke Sempadan (Kalimantan, Indonesia).

Menerusi tinjauan tersebut, beliau telah mencadangkan untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan berkenaan sebagai persediaan awal memandangkan Indonesia memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan di Kepulauan Borneo.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *