Persidangan IRSE Malaysia 2023 di Kuching Terima Sambutan Luar Biasa

UKAS  > Edisi-Selatan >  Persidangan IRSE Malaysia 2023 di Kuching Terima Sambutan Luar Biasa
0 Comments

KHAMIS, 6 APRIL 2023

KUCHING: Persidangan Institusi Jurutera Isyarat Kereta Api (IRSE) Malaysia 2023 yang diadakan buat pertama kali di Kuching pada 5 April hingga 6 April 2023 menerima sambutan yang luar biasa dengan kehadiran lebih 200 delegasi.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, persidangan itu adalah satu platform yang ideal untuk perkongsian ilmu dan kepakaran terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam industri pengangkutan.

Jelasnya, persidangan IRSE Malaysia 2023 adalah tepat pada masanya dan sejajar dengan usaha Sarawak untuk mengadaptasi teknologi baharu dalam sektor pengangkutan awam iaitu pembangunan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

“Projek KUTS bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching di mana pembangunan juga adalah sebagai tindak balas terhadap hasrat Kerajaan Sarawak untuk menyahkarbonkan pengangkutan dengan menggunakan kenderaan sifar pelepasan.

“Saya gembira untuk mengatakan bahawa Sarawak sudah pun memulakan penggunaan kenderaan sifar pelepasan karbon dengan memperkenalkan bas hidrogen yang sedang dalam operasi percubaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dato Sri Lee menambah, memandangkan teknologi sentiasa berkembang, keperluan untuk mempunyai tenaga kerja yang bertauliah dan mahir adalah penting dan IRSE digalakkan untuk memainkan peranan dalam mewujudkan kumpulan tenaga mahir yang dapat memenuhi permintaan industri.

“Kami berharap ini dapat mewujudkan kesedaran tentang peluang kerjaya dalam isyarat kereta api, komunikasi dan kejuruteraan sistem dalam kalangan belia.

“Kami kini mempunyai contoh sedia ada untuk dicontohi para belia bagi meneruskan kerjaya mereka dalam bidang isyarat dan kejuruteraan komunikasi,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Penganjur Persidangan IRSE, Ir. Shahrizaman Zamhury, beliau juga memohon ahli IRSE untuk bekerjasama dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Industri pengangkutan adalah salah satu penyumbang utama pelepasan rumah hijau dan kami tidak boleh mengabaikan kesan sektor ini terhadap alam sekitar.

“Namun begitu, saya gembira melihat terdapat perubahan ketara dalam industri pengangkutan yang telah menerima pakai amalan yang lebih mampan dan beralih kepada penggunaan teknologi hijau.

“Di IRSE, kami mempunyai peranan penting untuk menyokong peralihan ini selain mengamalkan amalan standard keselamatan dalam kereta api dan pihak kami menggalakkan serta menyokong ahli dan orang ramai dalam menerima pakai amalan lestari sekaligus berusaha untuk membangunkan teknologi baharu yang boleh membantu mencapai matlamat kita,” kata beliau.

Majlis pelancaran persidangan IRSE Malaysia 2023 turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Pengerusi Metro Sarawak Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa dan Presiden IRSE, Andy Knight.

Dalam program sama, turut menyaksikan perlantikan Ts. Mazli Mustaffa sebagai pengerusi baharu Seksyen IRSE Malaysia.

Terdahulu dalam ucapan ringkasnya, beliau berharap untuk memupuk minat di kalangan belia tempatan untuk menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan isyarat dan komunikasi.

“Harapan kami juga adalah untuk menggalakkan generasi muda mengkhususkan diri dalam bidang isyarat ini dan komunikasi kerana kedua-dua komponen kejuruteraan ini akan digunakan secara meluas untuk Projek KUTS,” kata Mazli. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *