Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan Mukah Tampil Kelainan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan Mukah Tampil Kelainan
0 Comments

SELASA, 11 APRIL 2023

MATU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) meneruskan Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan di Daerah Matu dalam usaha menyantuni golongan memerlukan di situ.

Untuk program kali ini, UKAS menampilkan kelainan dengan mengadakan majlis berbuka puasa di Padang Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) pada Isnin.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, program seperti ini perlu diperbanyakkan agar masyarakat terus bersatu padu dan dapat duduk semeja.

“Ini adalah percubaan pertama majlis berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang dengan menjemput semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama kerana sebagai rakyat Sarawak. Pastinya kita ingin hidup dalam suasana yang aman harmoni.

“Inilah yang cuba pihak Kerajaan kita teruskan, iaitu perkongsian dalam perpaduan, tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

“Kita mahu perpaduan ini menjadi suatu kekuatan untuk memastikan Sarawak pada tahun 2030 menjadi negeri yang maju dan rakyatnya bersatu padu dan bertoleransi antara satu sama lain,” katanya semasa berucap pada Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan, Bahagian Mukah di Daerah Matu di Padang MDMD pada Isnin.

Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menambah suasana seperti ini perlu sentiasa dipupuk, disokong dan sentiasa dikongsi bersama agar kemajuan dapat dinikmati oleh semua rakyat.

Terdahulu, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah dalam ucapan aluannya berkata program itu dianjurkan bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Katanya, program ini diadakan setiap bahagian di seluruh Sarawak dan untuk Bahagian Mukah, Matu dipilih sebagai lokasi program ini.

Aktiviti yang diadakan pada program ini mencakupi kerohanian, iaitu tazkirah Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Dalam majlis itu, Dr Juanda menyempurnakan penyerahan sumbangan bakul makanan dan wang tunai dari UKAS kepada 31 asnaf dan orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, beliau turut melakukan agihan bubur lambuk kepada mereka yang hadir ke program ini.

Pada sebelah malam, Dr Juanda menyempurnakan Program Sambutan Nuzul Quran, Badar Al-Kubra Dan Program Santunan Mahabbah Peringkat Daerah Matu 2023M/1444H bertempat di Masjid Daerah Matu.

Terdahulu, Dr Juanda berbuka puasa di perkarangan tempat letak kereta Masjid Daerah Matu bersama jemaah yang hadir.

Program tahunan Lembaga Amanah Kebajikan Matu (LAKIM) itu bertujuan membantu golongan asnaf di Daerah Matu untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi.

Pengisian program adalah Ceramah Perdana Nuzul Quran disampaikan oleh DAIE Hikmah Cawangan Sibu Ustaz Mohd. Al-Walud Junaidi dengan tajuk ‘Sejarah penutunan Al-Quran’.

Manakala ceramah program pula disampaikan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Mohamed. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *