SEDC Sarawak Santuni Penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching

UKAS  > Edisi-Utama >  SEDC Sarawak Santuni Penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching
0 Comments

SELASA, 18 APRIL 2023

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Sarawak menyantuni anak-anak yatim di Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) Kuching dalam satu majlis di sini pada Selasa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah hadir menyempurnakan majlis berkenaan.

Majlis yang diadakan ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh SEDC Sarawak yang diadakan untuk golongan yang kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak yang berteduh di kompleks kebajikan dan rumah anak yatim.

Majlis dimulakan dengan upacara Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi cadangan mewujudkan Pusat Usahawan di Hab Keusahawan, Sibu.

TBS akan memperuntukkan tanah seluas dua ekar bagi tujuan cadangan pembinaan pusat berkenaan dan SEDC melalui Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti (ECD) berperanan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan usahawan setempat melalui program-program keusahawanan yang disediakan.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan zakat perniagaan daripada SEDC Sarawak kepada Tabung Baitumal Sarawak (TBS) yang berjumlah RM 150,000.

Majlis tersebut disusuli dengan penyerahan sumbangan berupa duit raya dan barangan kelengkapan sekolah kepada seramai 94 kanak-kanak yang hadir.

Dalam majlis ini, acara berbuka puasa turut diadakan bersama jemputan di Restoran Meisan, hotel berkenaan.

Turut diadakan adalah solat berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih di Dewan Asajaya.

Selesai solat, para jemputan juga bersama dalam acara moreh.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi SEDC Sarawak Tan Sri (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Pengurus Besar SEDC Sarawak Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *