Banjir: Rumah Panjang Di Long Kajang Akan Dibina Baru

UKAS  > Edisi-Tengah >  Banjir: Rumah Panjang Di Long Kajang Akan Dibina Baru
0 Comments

SELASA, 16 MEI 2023

BELAGA: Kebimbangan penduduk di Long Kajang terhadap bencana banjir yang kerap melanda mereka bakal berakhir tidak lama lagi.

Ia selepas usaha untuk mendirikan rumah baru untuk penduduk Long Kajang sedang diusahakan menurut Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong demi memastikan keselamatan penduduk.

Sebagai permulaan katanya, beliau bersetuju menyalurkan sebanyak RM200,000 untuk meratakan tapak rumah baru penduduk Long Kajang.

“Untuk itu, sebagai pemimpin, sebagai Timbalan Menteri yang baru, kita akan berikan peruntukan RM200,000 pada tahun ini untuk meratakan tapak.

“Dan selepas itu nanti kita rundingkan bagaimana dan macam mana dari segi skim perumahan untuk menyokong dan menolong membina rumah panjang kita di Long Kajang ini,” katanya semas berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ehsan di Uma Penan, Long Kajang pada Isnin.

Terdapat empat buah rumah panjang yang akan menerima bantuan wang ehsan berjumlah keseluruhan RM122,000 iaitu Long Kajang, Long Abit, Long Lidem dan Long Tanyit.

Pecahan agihan sumbangan adalah Long Kajang RM23,000, Long Abit RM24,000, Long Lidem RM37,000 dan Long Tanyit RM36,000.

Sementara itu, berkaitan dengan permohonan dua buah jeti, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata keutamaan mungkin diberikan kepada rumah panjang kerana ia akan digunakan setiap hari.

Manakala untuk permohonan sekolah baru di situ, beliau berjanji akan menulis kepada Menteri Pendidikan mengenai perkara tersebut. 

Datuk Wilson menambah masalah air yang berlaku di situ akan diserahkan kepada pihak berwajib iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Sebagai buah tangan untuk penduduk Long Kajang, beliau mengumumkan bantuan berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Penan, Long Kajang dan RM5,000 untuk Biro Wanita.

Untuk JKKK Uma Penan Lusong Laku, Uma Penan Long Abit, Uma Penan Long Tanyit dan Long Lidem, masing-masing akan diagihkan sebanyak RM7,000. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *