Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Penggunaan Tenaga Hijau

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Penggunaan Tenaga Hijau
0 Comments

RABU, 17 MEI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam merealisasikan penggunaan tenaga hijau secara meluas di negeri ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata sehingga kini terdapat dua projek utama melibatkan pengeluaran hidrogen dan alga.

“Dua projek hidrogen utama di Bintulu dipanggil Projek Hornbill dan Project Hibiscus di mana SEDC Energy bekerjasama dengan rakan kongsi dari Jepun iaitu Sumitomo Corporation dan ENEOS untuk Projek Hornbill manakala untuk Projek Hibiscus, SEDC Energy bekerjasama dengan rakan kongsi dari Korea iaitu Samsung Engineering, POSCO dan Lotte Chemical.

“Bagi penyelidikan mengenai alga pula, kemudahan pengeluaran mikroalga yang memanfaatkan penangkapan carbon pertama telah dilancarkan di Loji Jana Kuasa Sejingkat,” katanya ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Terlebih dahulu Fazzrudin mengutarakan soalan mengenai status pembangunan hidrogen dan penyelidikan alga di Sarawak.

Difahamkan, sehingga kini, kedua-dua projek melibatkan hidrogen telah lulus kajian kebolehlaksanaan dan dijangka meneruskan peringkat ‘Front End-Engineering Design’ (FEED) dalam beberapa bulan akan datang.

Manakala untuk alga pula, loji komersil seluas 2,000 hektar boleh menghasilkan sehingga 140,000 tan biojisim alga dalam tempoh satu tahun.

Dalam pada itu, Dr Hazland berkata, usaha pengeluaran alga itu juga membuka lebih 5,000 peluang pekerjaan baru serta menyahkarbon kira-kira 200,000 tan karbon setiap tahun. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *