Pelan Strategik DBKU 2023 Ambil Kira PCDS 2030

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Pelan Strategik DBKU 2023 Ambil Kira PCDS 2030
0 Comments

KHAMIS, 18 MEI 2023

KUCHING: Pelan Strategik Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) 2023 mengambil kira Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi manfaat pertumbuhan dan pembangunan organisasi tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelan ini merupakan pelan jangka masa panjang yang melibatkan semua pengurusan dan warga kerja DBKU.

Beliau mengulas lanjut, inklusiviti komuniti adalah salah satu agenda penting yang dapat dilaksanakan melalui platform Kejiranan Mesra DBKU.

“Inklusiviti merupakan prinsip utama dalam agenda pembangunan sosioekonomi untuk memastikan rakyat, tanpa mengira etnik, status dan kedudukan geografi dapat menikmati manfaat pembangunan sama rata,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam Majlis Ramah Tamah DBKU di sini pada Rabu.

Premier Sarawak turut menzahirkan penghargaan kepada usaha pihak DBKU dalam meneruskan penerapan budaya kerja yang cemerlang dalam memastikan isu-isu semasa bandaraya Kuching sentiasa terkawal.

“Aspek ini dapat dilihat di mana DBKU sentiasa bersama dengan masyarakat dalam membangunkan kawasan dari segi fizikal dan sosio-ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, turut berlangsung majlis penyampaian hadiah bagi para pemenang Pertandingan Lampu Bertuntong KJM dan Old Kuching Smart Heritage (OKSHe).

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan, Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *