MOTS Guna CCTV Teknologi AI Pantau Pengguna Jalan Raya

UKAS  > Edisi-Utara >  MOTS Guna CCTV Teknologi AI Pantau Pengguna Jalan Raya
0 Comments

SELASA, 4 JULAI 2023

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah melancarkan penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau tingkah laku pengguna jalan raya.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, kementeriannya telah memilih lampu isyarat berhadapan dengan Bintang Megamall kerana banyak kemalangan berlaku di situ.

“Objektifnya adalah untuk mengumpul data tingkah laku pemandu, aliran dan volum trafik di samping warna, klasifikasi, model dan jenama kenderaan.

“Selain itu, untuk mengumpul data tentang kelajuan perjalanan dan nombor pendaftaran kenderaan, mengesan dan merekod kenderaan yang melebihi had laju secara automatik dan merekod kesalahan pemandu yang menggunakan telefon bimbit, merokok dan tidak menggunakan tali pinggang keledar semasa memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual di Majlis Pelancaran Proof-of-Concept : AI Violation-Detection CCTV di persimpangan Jalan Merbau Miri pada Selasa.

Tambah Dato Sri Lee, MOTS juga akan memulakan pelaksanaan program Perubahan Tingkah Laku (ABC) di seluruh Sarawak.

“Tujuan program kami ingin mengubah tingkah laku pemandu supaya mereka mematuhi peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya,” tambahnya.

Justeru, beliau amat mengesyorkan kaedah ini bagi membendung tingkah laku pemandu yang tidak bertanggungjawab dan mengurangkan kadar kemalangan di kawasan berisiko tinggi.

Hadir sama Pengarah KTT SDN BHD Keith Chan, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Ketua Cawangan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Miri Fifi Suhesty Hasmuni. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *