Karnival Bakat & Inovasi Prasekolah Lahir Murid Cemerlang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Karnival Bakat & Inovasi Prasekolah Lahir Murid Cemerlang
0 Comments

AHAD, 17 SEPTERMBER 2023

BAU: Karnival Bakat dan Inovasi Prasekolah merupakan inisiatif menyerlah bakat dan kemahiran serta kreativiti golongan murid. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, aktiviti sedemikian mampu mencungkil bakat, kemahiran dan kreativiti murid prasekolah sekali gus melahirkan insan yang cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa depan.

“Penganjuran pertandingan juga merupakan salah satu strategi untuk melatih anak-anak prasekolah agar mereka mampu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berupaya mempamerkan bakat dan potensi masing-masing.

“Bakat dan potensi mereka akan kekal terpendam sekiranya tidak digilap oleh para guru dan pembantu pengurusan murid (PPM),” katanya. 

Beliai berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Karnival Bakat dan Inovasi Prasekolah Peringkat Daerah Bau Bagi Tahun 2023 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaam (SJK) Chung Hua Bau pada Jumaat.

Dato Henry dalam pada itu turut berbangga dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau kerana telah berjaya menganjurkan aktiviti karnival dengan melibatkan guru-guru dan PPM prasekolah. 

Dalam majlis sama, beliau menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi 15 acara dipertandingkan yang melibatkan 40 institusi prasekolah sekitar daerah Bau.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Edward Ngelai dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bau (Sektor Pengurusan Sekolah), Daniel Willy Ritang. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *