Generasi Muda Perlu Hayati Erti Hari Malaysia

UKAS  > Edisi-Utara >  Generasi Muda Perlu Hayati Erti Hari Malaysia
0 Comments

ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023

LIMBANG: Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda perlu menghayati erti Hari Malaysia sekaligus menghargainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, kefahaman tentang pembentukan Malaysia penting bagi mengatasi masyarakat keliru dengan sejarah. 

Justeru, sempena sambutan Hari Malaysia, beliau menyeru agar masyarakat dan belia khususnya untuk menghayati dan lebih memahami sejarah pembentukan Malaysia.

Katanya, hal ini penting kerana ianya merupakan tanggungjawab sebagai warganegara agar lebih menghargai, menghormati serta mengingkatkan lagi semangat patriotisme.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Hari Keluarga Saberkas Sempena Sambutan Hari Malaysia 2023 anjuran Saberkas Cawangan Batu Danau bertempat di Kampung Bukit Gudang, Limbang pada Sabtu.

Menurut beliau lagi, generasi muda kini perlu tahu bagaimana Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 dan perlu dimasukkan dalam sistem pendidikan negara dari peringkat sekolah dan universiti.

Turut diadakan adalah aktiviti memotong kek sempena Hari Malaysia dan majlis penyerahan cek kepada 25 Unit Saberkas Cawangan Batu Danau masing-masing bernilai RM3,000.

Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan sijil apresiasi kepada mantan Ahli Jawatankuasa (AJK) Saberkas bagi sesi yang lepas.

Hadir sama Pengerusi Pengelola Hari Keluarga Saberkas Cawangan Batu Danau 2023 Jangan Bakar, Ketua Polis Daerah Limbang Supt Parum Niot, Ketua Masyarakat Iban Limbang Pemanca Robert Kunyu Anggau, Ketua Masyarakat Bisaya Limbang Penghulu Ekit Awang. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *