Bandar Baharu Bagak Termasuk Dalam Rancangan Pembangunan Di DUN Opar

UKAS  > Edisi-Selatan >  Bandar Baharu Bagak Termasuk Dalam Rancangan Pembangunan Di DUN Opar
0 Comments

AHAD, 11 FEBUARI 2024

KUCHING: Rancangan pembangunan Bandar Baharu Bagak diyakini bakal menjadi ‘game changer’ baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, ia dijangka akan memberikan manfaat secara holistik bukan sahaja kepada penduduk di Daerah Lundu dan Sematan malah kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Kedudukannya yang strategik berhampiran Lebuhraya Pan Borneo dilihat mampu memberi kesan positif untuk mengembangkan bandar Lundu dari pelbagai aspek termasuk sosioekonomi dan pelancongan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya semasa taklimat projek berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya pembinaan fasa pertama akan melibatkan kawasan seluas 92 ekar yang bertemakan Pembangunan Lestari merangkumi pembinaan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Selako, kompleks belia dan sukan, pasar tamu, bangunan pentadbiran, dewan serbaguna, bangunan kedai dan pelbagai lagi kemudahan asas.

Dalam akhir ucapannya, Billy optimis dengan kemampuan semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan perancangan ini sekali gus mempelbagaikan peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Datu Ik Pahon Joyik. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *