Kestabilan Politik, Sokongan Rakyat Rancakkan Pembangunan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kestabilan Politik, Sokongan Rakyat Rancakkan Pembangunan
0 Comments

AHAD, 11 FEBRUARI 2024

PALOH: Kestabilan politik serta kekuatan sokongan rakyat terhadap kerajaan akan memastikan segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur dan tersusun.

Selain itu kerjasama serta hubungan baik antara rakyat dan pemimpin juga akan memudahkan wakil-wakil rakyat samada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merancakkan lagi pembangunan dan sosio ekonomi setempat.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab, ini semua telah terbukti dengan pelbagai pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan khususnya di Kampung Paloh, Kedang dan juga Berangan.

Katanya, meskipun masih banyak infrastruktur yang diperlukan namun apa yang telah disediakan pada masa kini telah banyak memberi keselesaan kepada rakyat.

Beliau berkata demikian pada Program Pemimpin Bersama Masyarakat bagi Komuniti di rumah-rumah panjang di Kampung Berangan pada Ahad.

Beliau juga menyeru penduduk di Paloh, Kedang dan Berangan agar bersabar kerana projek utama iaitu pembinaan jalan yang semua sudah sedia maklum akan dilaksanakan tetapi ianya memerlukan masa untuk dilakukan.

Pada masa ini projek tersebut masih dalam proses penilaian, tinjauan serta kajian dari semua pihak yang terlibat.

Ir Yusuf menjangkakan projek ini secara fizikalnya akan dapat dimulakan seawal-awalnya tahun hadapan namun tertakluk kepada kajian sedang dijalankan.

“Untuk makluman projek pembinaan jalan Paloh ke Tanjung Manis telah diluluskan peruntukan oleh kerajaan pusat sebanyak RM267 juta namun masih belum mencukupi.

“Oleh itu Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi melengkapkan semua kemudahan termasuk dua jambatan utama di Batang Paloh dan Batang Belawai,” katanya.

Beliau amat gembira dan berterima kasih kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk kampung kerana telah berjaya mengadakan program yang cukup meriah dipenuhi dengan pertandingan memancing serta perlumbaan perahu di samping pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Harapannya kerjasama yang ditunjukkan dapat diteruskan dan beliau juga tidak ragu-ragu untuk memberi peruntukan agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa depan.

Hadir sama ialah Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat dari Paloh, Kedang dan Berangan. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *