Pendidikan ‘Tiket’ Untuk Masa Hadapan Pelajar

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pendidikan ‘Tiket’ Untuk Masa Hadapan Pelajar
0 Comments

AHAD, 11 FEBRUARI 2024

BETONG: Ibu bapa diseru untuk memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan bagi menjamin masa depan lebih cerah.

Malah kata Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, ia sekali gus menjadi tiket untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.

“Pendidikan bukan hanya tiket untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi, ia penting bagi membentuk jati diri individu yang berjaya dalam kehidupan tanpa mengira apa pun bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Komuniti Setempat (PIBGKS) SK St Peter dan St Paul pada Rabu.

Tambahnya, dengan inisiatif Kerajaan Sarawak menerusi dasar sosial pendidikan percuma pada 2026, ia harus dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Dr Richard Rapu menyeru ibu bapa untuk menghantar anak-anak untuk tinggal di asrama susulan keadaan fasiliti yang lebih baik dan kondusif.

“Antaranya, lebih mudah mengikuti aktiviti ko-kurikulum pada sebelah petang, lebih fokus di dalam pelajaran dengan mempunyai jadual sesi ulang kaji yang teratur.

“Malah, dapat mengelakkan masalah tidak hadir ke sekolah dan sekali gus memudahkan ibu bapa tidak perlu ulang alik ke sekolah setiap hari,” jelasnya.

Selain itu, Dr Richard Rapu turut menyeru agar memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya di peringkat sekolah rendah bagi membentuk minat mereka.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak kini dalam fasa menerokai pelbagai ekonomi yang memerlukan modal insan untuk menguasai teknologi berkaitan yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang STEM.

Pada majlis tersebut, beliau telah mengumumkan sumbangan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada pihak PIBG SK St Peter dan St Paul sebagai dana untuk membiayai sebahagian aktiviti mereka.

Turut hadir, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong Emparie Tom, Gurubesar SK St Peter & St Paul September Budin, Yang di-Pertua (YDP) PIBG SK St Peter & St Paul Romula Saging Bachan dan Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong Tony Malang Chabu. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *