Projek Naik Taraf Tebingan Sungai Kampung Baru Ismail Siap Sepenuhnya

UKAS  > Edisi-Tengah >  Projek Naik Taraf Tebingan Sungai Kampung Baru Ismail Siap Sepenuhnya
0 Comments

AHAD, 11 FEBRUARI 2024

IGAN : Usaha mengindahkan kampung di kawasan Jemoreng diteruskan dengan siapnya projek naik taraf Tebingan Sungai Kampung Baru Ismail di sini.

Projek tersebut menyaksikan sebuah jejambat kayu yang lengkap dengan gazebo diletakkan di kawasan itu sekali gus menjadi tarikan baharu di Kampung Igan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng hadir semasa penyerahan projek daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) Bahagian Mukah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Ismail.

Usai majlis penyerahan, Dato Murshid Diraja Dr Juanda melawat ke tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 bagi melihat sendiri lokasi pembangunan yang akan dilaksanakan.

Ia melibatkan beberapa projek naik taraf infrastruktur di Igan termasuk parit di Kampung Dagang, jeti di kawasan klinik, pembinaan benteng hakisan Sungai Baru dan Sungai Sampan serta naik taraf parit dan kerja-kerja tambahan di Kampung Baru Ismail.

Antara lain, termasuk projek membina jalan dan parit konkrit berhampiran di Kampung Tengah, Kampung Sekerang dan pembinaan parit konkrit tebingan sungai.

Kebanyakan projek yang dilaksanakan di bawah RTP 2024 berkait rapat dengan isu perparitan di Kampung Igan susulan ketiadaan laluan aliran keluar dari kawasan rumah sehingga menyebabkan air bertakung.

Dato Murshid Diraja Dr Juanda berharap projek yang bakal dijalankan dapat mengurangkan masalah air bertakung di samping mengharapkan kerjasama penduduk yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan siap pada masa yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melawat Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Igan dan Pusat Khidmat N.44 Jemoreng.

Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Matu Zaraina Sahari. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *