Sukan Jadi ‘Penawar’ Masalah Gejala Sosial

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sukan Jadi ‘Penawar’ Masalah Gejala Sosial
0 Comments

ISNIN, 12 FEBUARI 2024

KOTA SAMARAHAN: Penglibatan golongan belia secara aktif dalam aktiviti sukan mampu menjadi ‘penawar’ sekali gus mengelak daripada terjerumus dalam masalah sosial.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, ia juga disifatkan sebagai salah satu penawar kepada gejala sosial yang membabitkan generasi muda.

Menurutnya, meskipun menyedari golongan tersebut tidak terlepas dari dikaitkan dengan gejala sosial, namun ia mampu diatasi dengan memberi pendedahan kepada aktiviti yang lebih sihat.

“Sekiranya golongan belia meluangkan masa dengan perkara berfaedah seperti bersukan, itu bukan sahaja dapat mengasah bakat bahkan dapat membentuk modal insan yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pertandingan Badminton Kelab Badminton Muara Desa (MDBC) 2024 dan Dewan Arena Datuk Rubiah Wang di Dewan Taman Desa Ilmu di sini pada Ahad.

Selain itu, Datuk Rubiah memberitahu, kerajaan Persekutuan pada pembentangan lepas telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya prasarana yang daif.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta geran padanan bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi.

“Kedua-dua peruntukan ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan cakna dan mengambil berat dengan penglibatan sukan dalam kalangan rakyat.

“Bahkan kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan dan pertumbuhan e-sukan di negara ini selari dengan hasrat dengan Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan yang dikenali di rantau ini,” katanya. 

Pertandingan itu dianjurkan oleh Kelab Badminton Muara Desa (MDBC) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Dewan Arena Rubiah Wang dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) diadakan pada 10 dan 11 Februari 2024.

Dalam pertandingan tersebut menyaksikan pasangan Cassandra Hazel dan Nurisha Fatihah muncul juara bagi kategori Beregu Wanita, manakala Ser Sudin dan Entali Jingan dinobat sebagai johan bagi kategori Beregu Lelaki Veteran Gabungan Umur 85 Tahun.

Sementara itu gandingan Muhd Amir Asyraaf Sepawi dan Nikram Shazran diumum sebagai johan bagi kategori Beregu Novis Lelaki.

Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Anuar Da’an, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak dan Pengurus Dewan Taman Desa Ilmu, Borhan Silly. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *