RABU, 21 FEBRUARI 2024

KUCHING: Dukacita dimaklumkan bahawa Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah meninggal dunia pada kira-kira jam 4.40 pagi tadi.

Menurut kenyataan media kerajaan Sarawak, jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching jam 3 petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke rumah Almarhum di Demak Jaya, Jalan Bako.

Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Februari (Khamis) di mana orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 8.00 pagi hingga 11.30 tengahari.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh Sarawak bermula pada hari ini serta esok dan bendera Sarawak hendaklah dinaikkan separuh tiang di seluruh negeri.

Sebarang acara rasmi yang melibatkan hiburan hendaklah ditangguhkan.

Masjid dan rumah ibadah adalah digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Abdul Taib Mahmud.

Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Tun Abdul Taib Mahmud. – EDISI UKAS

add comment