Shopee Berminat Jalin Kerjasama Dengan Sarawak Promosi E-Dagang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Shopee Berminat Jalin Kerjasama Dengan Sarawak Promosi E-Dagang
0 Comments

ISNIN, 25 APRIL 2022

KUCHING: Platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara, Shopee berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak bagi mempromosikan e-dagang dalam kalangan usahawan teknologi tempatan.

Menurut Pakar Pemasaran (Dasar Awam & Hal Ehwal Kerajaan) Shopee, Mistika Idris, terdapat pelbagai bidang kerjasama dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak yang dipercayai memberi manfaat kepada orang ramai.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada dasar kerajaan Sarawak untuk memberi tumpuan kepada ekonomi digital bagi memacu Sarawak mencapai kemajuan menjelang 2030.

“Dengan kerjasama ini, terdapat banyak bidang kerjasama yang boleh diberikan kepada penjual tempatan di Sarawak lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mengetahui platform e-dagang dan mendedahkan kepada mereka bahawa sesiapa sahaja boleh mengakses pelbagai produk Sarawak dalam talian,” jelasnya dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, pada Isnin.

Sementara itu, ujar Mistika, Shopee juga turut menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang ingin berniaga dalam talian.

“Kami meneruskan latihan, program pemerkasaan dan CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) strategik untuk membantu mereka yang memerlukan dan melatih mereka yang tidak tahu cara memuat naik produk mereka dalam talian ke Shopee.

“Shopee menyediakan jurulatih, modul, asas, kelas talian Shopee pertengahan dan iklan Shopee bagi menggalakkan orang ramai terus belajar dan meningkatkan kesedaran tentang cara menggunakan Shopee sebagai platform (dalam talian),”jelasnya.

Mengulas lanjut, Mistika turut memberitahu bahawa banyak perniagaan mula beralih ke dalam talian semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan terutama melibatkan penyertaan rakyat Sarawak.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung membuka peluang perniagaan di Sarawak untuk membekalkan produk kepada penduduk di Semenanjung Malaysia.

“Ia sangat menggalakkan kerana mereka tidak perlu membayar sewa dan kemudahan dan kesemuanya (keuntungan) boleh dimasukkan (kembali) ke dalam perniagaan dalam talian mereka,” tambahnya lagi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *