Lawatan Berpandu Wajib di Taman Negara Bako Mulai 2026
KUCHING: Bermula tahun 2026, semua pelawat ke Taman Negara Bako diwajibkan mengikuti lawatan berpandu (compulsory guided tour), kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chew Yew.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pengalaman pelawat lebih tersusun di samping meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti taman negara tertua di Sarawak itu.
“Apabila dasar ini dilaksanakan, setiap pelawat perlu menggunakan khidmat jurupandu taman. Bayaran pula akan dikawal supaya lebih adil dan standard,” jelasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Latihan Jurupandu Taman di Bako, hari ini.
Setakat ini katanya, Sarawak mempunyai 231 jurupandu taman aktif daripada 400 yang berlesen.
Dengan penambahan 31 jurupandu baharu yang sedang mengikuti latihan di Bako, jumlah keseluruhan meningkat kepada 262 orang, jelas beliau.
Katanya lagi, di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 300 jurupandu taman menjelang 2030.
Ini bermakna Sarawak hanya memerlukan 38 jurupandu tambahan untuk mencapai sasaran tersebut.
Sementara itu, Datuk Sebastian Ting memaklumkan Taman Negara Bako mencatatkan lebih 47,000 pengunjung pada tahun lalu, manakala sehingga Julai tahun ini sahaja telah menerima 27,000 pelawat, dengan jumlah dijangka menyamai atau melepasi rekod tahun sebelumnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk tempatan, khususnya dari Kampung Bako, kerana menyertai latihan sebagai jurupandu dan membantu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan utama rantau ini.-EDISI UKAS