MediRover & MediDoc Perluas Akses Kesihatan Digital Untuk Rakyat
KOTA SAMARAHAN: Inisiatif MediRover dan MediDoc yang dilancarkan oleh CelcomDigi dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi langkah penting dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan digital kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, inisiatif ini membolehkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan rawatan moden tanpa perlu ke hospital atau klinik yang jauh dari penempatan mereka.
Menurutnya, usaha ini membuktikan teknologi mampu dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan hasrat kerajaan memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima rawatan berkualiti.
“Saya menerima baik dan menyokong usaha ini dan diharapkan ia menjadi agenda untuk kita pastikan teknologi perubatan ini akan dapat mencapai ke seluruh pelosok pedalaman.
“Tidak kira dimana sahaja mereka berada, mereka tidak akan ketinggalan untuk mendapat perkhidmatan bukan sahaja daripada doktor, malah termasuk doktor-doktor pakar. Ini merupakan langkah awal untuk kita menyebarluaskan perkhidmatan kesihatan seluruh negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Telehealth & MediRover kerjasama CelcomDigi & Hospital Pengajar UNIMAS di Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar UNIMAS (HPU-UNIMAS), di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, semasa berucap dalam majlis pelancaran, Datuk Amar Fadillah menjelaskan, MediRover merupakan unit bergerak telekesihatan dilengkapi sambungan 5G serta peralatan digital untuk pemeriksaan kesihatan di lapangan, manakala MediDoc ialah platform konsultasi maya yang menghubungkan pesakit dengan doktor atau pakar secara dalam talian.
Katanya, kedua-dua inisiatif ini membolehkan perkhidmatan kesihatan disampaikan dengan lebih cepat, mudah dan menyeluruh kepada masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menegaskan bahawa sebagai anak Sarawak, beliau memahami cabaran masyarakat luar bandar yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan, dan pelaksanaan inisiatif ini mampu mengubah keadaan tersebut dengan membawa rawatan terus ke pintu rumah rakyat.
Tambah beliau, pelaksanaan MediRover dan MediDoc seiring dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Kertas Putih Kesihatan yang menekankan akses rawatan berkualiti untuk semua tanpa mengira lokasi.
Datuk Amar Fadillah memberitahu, transformasi kesihatan digital ini juga menyokong hasrat kerajaan memastikan kemudahan teknologi seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan mutu kehidupan rakyat selaras dengan dasar MyDIGITAL dan Pelan Ekonomi Digital Sarawak 2018–2030.
Beliau turut menegaskan, kejayaan inisiatif ini membuktikan Sarawak terus berada di hadapan dalam agenda pendigitalan negara dan menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkasa sistem kesihatan melalui inovasi teknologi.
Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Hata Rasit, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi T.Kugan dan Pengarah Perubatan Pusat Perubatan PPUM Profesor Dr. Nazirah Hasnan.-EDISI UKAS