24 Keluarga di Entulang Entawa Nikmati Manfaat Projek RTP DUN Bukit Begunan
SRI AMAN: Sebanyak 24 keluarga di Rumah Tarang Jang, Entulang Entawa, bakal menikmati manfaat hasil pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan tahun 2025.
Projek bernilai RM200,000 yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu melibatkan kerja membaik pulih rumah panjang termasuk penukaran jubin lantai, bingkai tingkap, siling rumah dan siling ruai.
Projek ini mula dilaksanakan pada Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025.
Majlis pelancaran dan penyerahan projek disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang di Rumah Panjang Entulang Entawa pada Khamis.
Dalam ucapannya, Datuk Mong menyeru penduduk supaya terus bersatu dan menyokong usaha pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Kerajaan pimpinan GPS memiliki polisi pembangunan yang baik dengan hampir seluruh kawasan DUN Bukit Begunan kini sudah pun memiliki rangkaian jalan raya (kecuali Langgir) dan kemudahan bekalan elektrik 24 jam," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM55,000 kepada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dua persatuan, dan satu biro wanita.
Antara penerimanya ialah JKKK Rumah Rose Isa, Entulang Lalang, JKKK Jembai Munap, Melugu Skim, JKKK Edward Seli, JKKK Suat, Sungai Renggit, Biro Wanita Wilson Bana, Po’Ai, Sokanjaya Bahagian Sri Aman, serta Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan MRP 2026 sebanyak RM100,000 untuk pihak pengurusan Dewan Sri Entulang, RM50,000 untuk Tabika KEMAS Rumah Panjang Entulang Entawa, RM10,000 untuk JKKK Rumah Tarang Jang, serta RM5,000 untuk Biro Wanita rumah panjang tersebut.-EDISI UKAS