Sarawak Bakal Miliki Pusat Seni Persembahan Ikonik Menjelang 2027
KUCHING: Sarawak bakal memiliki sebuah pusat seni persembahan ikonik menjelang akhir 2026 atau awal 2027, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab budaya dan seni paling dinamik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan pusat seni persembahan ini akan menjadi ruang rasmi untuk mempamerkan warisan budaya, tarian, muzik dan seni persembahan.
“Saya ingin melihat Sarawak dibangunkan dari sudut ini, dari sudut budaya, dari sudut seni.
“Apabila tiba masanya pusat seni persembahan atau seni budaya kita telah dipersembahkan atau drafnya telah siap, yang dijangka siap pada akhir tahun hadapan atau awal 2027, kita mempunyai satu tempat yang ikonik di Sarawak untuk kita mempamerkan kebudayaan-kebudayaan dan juga kesenian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Pertandingan Tarian dan Nyanyian Lagu Melayu Asli Peringkat Akhir sempena Festival Kesenian Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada malam Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa sektor pelancongan kini semakin tertumpu kepada pengalaman budaya, di mana pelancong tidak lagi datang sekadar untuk membeli-belah, sebaliknya ingin menyaksikan sendiri cara hidup masyarakat serta keunikan kesenian dan budaya sesebuah negeri atau negara.
Selain itu, Dato Sri Abdul Karim juga mencadangkan agar Festival Kesenian Sarawak dijadikan acara tetap dalam kalendar pelancongan negeri bagi memastikan perancangan lebih tersusun dan memberi peluang lebih luas kepada pengunjung menikmati persembahan yang dipersiapkan rapi.
“Harapan saya festival kesenian ini dimasukkan kalau belum lagi dimasukkan dalam kalender pelancongan kita.”
“Kalau dimasukkan dalam kalender pelancongan, sekurang-kurangnya untuk tahun itu kita tahu bila ia diadakan,” tambah beliau.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini, Pemangku Ketua Majlis Seni Sarawak Awang Ikman Awang Sepian serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee