Kerajaan Sarawak Bantu Bina Semula Rh James Kalip Terbakar
TATAU: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan alat binaan bernilai RM70,000 untuk setiap pintu bagi membina semula Rumah Panjang James Kalip, Sungai Semanok yang musnah dalam kebakaran pada 10 November lalu.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, bantuan tersebut merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan semua penduduk yang kehilangan tempat tinggal dapat membina kediaman baharu secepat mungkin dan memulihkan kehidupan mereka.
Beliau turut melakukan lawatan kerja ke lokasi kebakaran bagi menyantuni mangsa yang terdiri daripada 104 penduduk melibatkan 20 pintu rumah panjang.
Dalam lawatan tersebut, Dato Sri John Sikie turut menyampaikan sumbangan tunai RM10,000 kepada 20 pintu rumah panjang sebagai bantuan segera bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Selain itu, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM40,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah James Kalip bagi menyokong proses pembinaan semula rumah panjang baharu.
Lawatan kerja ini sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan penduduk yang dilanda musibah terus diberikan perhatian dan tindakan susulan yang sewajarnya.-EDISI UKAS