PBB Susun Program 2026 Perkasa Agenda Pengukuhan Parti
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi tumpuan penuh terhadap usaha memperkukuh gerak kerja tahun depan dengan rancangan merangka dan menyenaraikan program strategik bagi mengukuhkan kekuatan organisasi secara lebih tersusun pada 2026.
Tumpuan itu dimuktamadkan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) terakhir bagi tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merangkap Yang di-Pertua PBB.
Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata mesyuarat keempat itu diadakan selaras ketetapan perlembagaan parti.
Ia sekali gus menutup rangka kerja tahun ini dengan menilai laporan keahlian serta prestasi program yang dilaksanakan sepanjang 2025.
“Premier Sarawak menekankan keperluan untuk menggerakkan aktiviti parti dengan lebih aktif pada 2026.
“Justeru, sekretariat akan meneliti, memilih dan menyusun beberapa program utama bagi memastikan agenda pengukuhan parti dilaksanakan secara sistematik dan berfokus,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PBB di sini, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Alexander, penyusunan program itu dijangka merangkumi penglibatan akar umbi, pengukuhan struktur organisasi, serta mobilisasi sokongan yang lebih mantap di seluruh bahagian.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Yang di-Pertua Datuk Amar Douglas Uggah, Naib Yang di-Pertua Kanan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Naib Presiden PBB Dato Sri Julaihi Narawi, Dato Sri Fatimah Abdullah, Datuk Dr Annuar Rapaae, Datuk Ibrahim Baki, Datuk Len Talif Salleh, Dato Gerald Rentap Jabu, Datuk Gerawat Gala, Datuk Martin Ben serta barisan ahli Majlis Tertinggi lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Hanif Suhaimi