KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan semakan dan penambahbaikan struktur insentif bagi kaunselor dan Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum (KMKK) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Elaun Tetap Bulanan Khas kepada 864 kaunselor yang berkhidmat di 27 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Sarawak dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000.
Menurutnya, ini juga termasuk faedah perubatan tambahan sebanyak RM1,000 setahun diperkenalkan untuk rawatan asas di hospital atau klinik swasta yang diiktiraf Kerajaan.
“Kadar baru elaun dan faedah perubatan ini melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM8.1 juta setahun dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Sementara itu, Premier Sarawak turut mengumumkan lebih 7,700 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum menerima kenaikan imbuhan bulanan sebanyak RM400 melibatkan peruntukan tambahan RM37 juta setahun berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Jelasnya, penyelarasan terakhir imbuhan mereka dibuat pada tahun 2018 dengan kenaikan RM100 di mana kos sara hidup terus meningkat dan skop tanggungjawab KMKK bertambah dengan ketara.
Ujarnya, ini menghargai peranan penting mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat terutamanya tugas mengekalkan keharmonian sosial, menyelesaikan pertikaian tempatan, dan menyokong pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat komuniti. -EDISI UKAS