Bantuan SKAS Dinaikkan Pada 2026, Lebih 1 Juta Rakyat Sarawak Dijangka Terima Manfaat
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat apabila kadar bantuan di bawah inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dinaikkan mulai tahun 2026 selaras dengan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri ini memperuntukkan RM640 juta di bawah Belanjawan 2026 dan menjangka lebih 1 juta rakyat Sarawak akan menerima manfaat daripada bantuan yang diperkasa ini.
“Inilah Kerajaan GPS yang sedang bertindak - mendengar, bertindak balas dan menyampaikan.
“Kita bukan sahaja menguruskan belanjawan, kita juga menambah baik kehidupan. Marilah kita terus membina Sarawak di mana tiada siapa yang ketinggalan dan setiap rakyat merasakan kepedulian kerajaan yang benar-benar berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Premier Sarawak memaklumkan bahawa kadar bantuan SKAS akan disalurkan setiap empat bulan mulai 2026 bagi memastikan ia lebih sepadan dengan keperluan rakyat.
Melalui penambahbaikan itu jelasnya, isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima peningkatan bantuan daripada RM800 kepada RM950 setahun, dengan setiap bayaran berjumlah RM316 dan warga emas yang tidak mempunyai pasangan atau anak dan berpendapatan RM5,000 ke bawah pula akan menerima peningkatan bantuan daripada RM400 kepada RM500 setahun, iaitu RM166 bagi setiap bayaran.
Sementara itu, bagi individu bujang, katanya, mereka yang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menikmati kenaikan bantuan daripada RM250 kepada RM300 setahun, bersamaan RM100 bagi setiap bayaran.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari mendedahkan, sejak dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM557 juta, SKAS telah memberi manfaat kepada lebih 1.03 juta rakyat Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan: Nur Nabilla
Foto: Jaed Tepus & Hazrin Sunaini