Sarawak Peruntuk RM46 Juta Bagi Percepat Elektrifikasi Luar Bandar 2026
KUCHING: Sarawak memperuntukkan RM46 juta dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepatkan pelaksanaan projek elektrifikasi luar bandar, sekali gus mengukuhkan komitmen kerajaan negeri untuk mencapai liputan elektrik 100 peratus di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setakat ini liputan elektrik luar bandar telah mencapai 98.6 peratus manakala kawasan bandar sudah menikmati akses sepenuhnya.
“Sejumlah RM46 juta diperuntukkan pada 2026 bagi projek elektrik luar bandar seperti Additional and Late Application Fund (ALAF), penyambungan kampung dan rumah panjang SARES ke grid berhampiran.
“Seterusnya, penggantian bateri serta komponen utama sistem solar berdiri sendiri serta naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, usaha elektrifikasi diperkukuh dengan RM153 juta lagi melalui Alternative Funding bagi melaksanakan program Rural Electrification Scheme (RES) pada tahun hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Muller Asen
Foto: Muhammad Rais Sanusi & Jaed Tepus