Sarawak Perkukuh Sokongan Untuk Ibu, Bayi & Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif sosial yang memberi manfaat langsung kepada ibu, bayi, kanak-kanak dan golongan memerlukan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan di bawah 'Endowment Fund Sarawak' pada 2026, bagi memastikan setiap bayi memulakan kehidupan dengan asas kewangan yang kukuh.
Selain itu katanya, 'Program Bantuan Ibu Bersalin' pula menerima RM5 juta untuk meringankan beban ibu semasa proses kelahiran.
Beliau memaklumkan berita gembira itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Dalam pembentangan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas melalui One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC), yang menyediakan terapi, penilaian dan sokongan ibu bapa di persekitaran mesra.
"Pada 2026, sebanyak RM3.9 juta diperuntukkan untuk memperkukuh OSEIC di Kuching, Dalat, dan Miri, sekali gus memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat perhatian sewajarnya,"jelasnya lanjut.
Tambah beliau, sejumlah RM55.8 juta juga diperuntukkan untuk program kebajikan lain di bawah rangka perlindungan sosial, termasuk bantuan kepada golongan belia, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak mampu bekerja, serta mangsa bencana.- EDISI UKAS