Cadangan Perluas FTES Bagi Pelajar Sarawak Di IPT Seluruh Malaysia Belum Dapat Dilaksana, Fokus 4 IPT Milik Sarawak Dahulu
KUCHING: Cadangan untuk meluaskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) kepada semua pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di universiti seluruh Malaysia, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), belum dapat dilaksanakan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata,
buat masa ini dasar semasa hanya membenarkan skim ini digunakan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak sahaja.
Menurutnya, sebarang pelaksanaan pendidikan percuma di institusi persekutuan memerlukan keputusan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE).
"Universiti awam di bawah Kerajaan Persekutuan sudah mengenakan yuran yang sangat minima dan mampu dimiliki oleh semua pelajar.
"UNIMAS dan UiTM masih berada di luar bidang kewangan dan pentadbiran skim FTES Kerajaan Sarawak,"katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Roland turut menekankan bahawa skim FTES hanya ditawarkan di empat institusi pendidikan tinggi milik kerajaan Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
Jelasnya lanjut, sebanyak 64 kursus telah diluluskan di bawah FTES, yang mana senarai penuhnya akan diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam masa terdekat. -EDISI UKAS