19 KMKK DUN Simunjan Sertai Lawatan Ke Persidangan DUN Sarawak, Adakan Sesi Khas Bersama ADUN Simunjan
KUCHING: Seramai 19 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan DUN Simunjan tmengadakan lawatan rasmi ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini yang diketuai oleh Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para KMKK mengenai perjalanan persidangan, proses penggubalan dasar serta memahami peranan DUN dalam pembangunan negeri ini.
Program seumpama ini juga membantu pemimpin akar umbi mengikuti dengan lebih dekat hala tuju kerajaan negeri, terutamanya berkaitan isu pembangunan luar bandar.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang mengikuti sesi persidangan secara langsung dan menerima taklimat ringkas berkaitan fungsi DUN.
Mereka turut merakam gambar kenangan di ruangan utama Kompleks DUN Sarawak.
Rombongan KMKK turut berkesempatan berjumpa dan berinteraksi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dalam satu sesi ringkas.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada KMKK menyuarakan pandangan serta berbincang mengenai pelbagai isu setempat yang memerlukan perhatian.
Awla dalam pertemuan tersebut menekankan kepentingan peranan KMKK sebagai jambatan antara masyarakat dan kerajaan serta berharap lawatan ini dapat memperkukuh kerjasama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan kawasan Simunjan.
Lawatan rasmi ini berakhir dengan sesi bergambar bersama Awla sebelum rombongan kembali ke Simunjan.-EDISI UKAS