SRAS Diperkasa, Projek RSP Diteruskan Demi Kesejahteraan Rakyat
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperluas dan memperkukuh agenda perumahan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk penambahbaikan Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) serta meneruskan pembangunan Rumah SPEKTRA Permata (RSP) di pelbagai lokasi seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, kementerian bersama Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) kini sedang meneliti langkah menambah baik dan memperluas pelaksanaan SRAS agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penerima berkelayakan.
Menurut beliau, proses penambahbaikan dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat melalui sesi libat urus dan tinjauan yang dijalankan oleh HDC.
“Kementerian sedang mengkaji kaedah terbaik untuk meningkatkan serta memperluas SRAS kepada penerima yang layak di seluruh Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucaapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, beliau memaklumkan bahawa kementerian turut akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pelaksanaan SRAS di luar Sarawak, termasuk mekanisme pelaksanaannya serta keperluan kewangan bagi tujuan peluasan skema tersebut.
Jelasnya, HDC telah mengemukakan permohonan peruntukan di bawah RMK-13 bagi melaksanakan kerja-kerja infrastruktur dan pembinaan RSP Badong di Daro.
Berhubung status Projek SPEKTRA Permata di Tapak Perumahan Awam Pusa, Datuk Amar Dr. Sim menjelaskan bahawa SPA telah meluluskan perancangan semula Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Pusa kepada 15 blok pada 27 Mac 2024.
"Di bawah Blok 1, HDC merancang untuk membina 40 unit rumah berkembar dua tingkat jenis bertiang (on-stilt detached houses) yang direka bentuk mengikut keperluan setempat, sekali gus memastikan pembangunan perumahan lebih sesuai dengan keadaan geografi dan keperluan komuniti," jelasnya lagi.-EDISI UKAS