120 Pelajar DUN Batang Ai Terima Sumbangan Pendidikan
LUBOK ANTU: Seramai 120 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai menerima sumbangan pendidikan melalui Majlis Penyerahan Cek Tabung Pendidikan Batang Ai yang berlangsung di Pejabat Daerah Lubok Antu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, daripada jumlah tersebut, 90 penerima merupakan penuntut peringkat Ijazah Sarjana Muda, manakala 30 lagi adalah pelajar peringkat Diploma, sekali gus memperkukuh akses pendidikan tinggi bagi anak-anak luar bandar.
Difahamkan, bagi tahun 2025, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memperuntukkan RM600,000 untuk tujuan ini manakala Datuk Dr Malcolm turut menyalurkan RM100,000 sebagai sokongan tambahan terhadap pembangunan modal insan di Batang Ai.
Sementara itu, Pengurus Stesen HEP Batang Ai David Gunda turut memaklumkan komitmen jangka panjang SEB dengan peruntukan RM300,000 bagi tahun 2026 dan RM500,000 bagi tahun 2027.
Tabung Pendidikan Batang Ai, yang diperkenalkan sejak tahun 2018, terus menerima sokongan padu daripada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, menjadikannya antara inisiatif terpenting dalam membantu pelajar pedalaman melanjutkan pengajian tinggi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri II Mikai Mandau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS