DUN Kedup Terima Peruntukan RM2.49 Juta Untuk Projek Gereja & Program Komuniti
SERIAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup menerima suntikan peruntukan berjumlah RM2,493,000 menerusi penyaluran dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi pembangunan infrastruktur gereja serta pelaksanaan program komuniti di kawasan tersebut.
Majlis penyerahan cek UNIFOR dan MRP itu berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kedup dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben dengan kehadiran kira-kira 40 orang penerima dan wakil komuniti pada Isnin.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, RM2,325,000 disalurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR kepada 12 buah gereja di DUN Kedup bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta naik taraf kemudahan rumah ibadat.
Peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan penganut, di samping mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara kelestarian rumah ibadat yang berperanan penting sebagai pusat kerohanian dan kemasyarakatan.
Sementara itu, Datuk Martin memberitahu, sokongan UNIFOR membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan terancang, selaras dengan keperluan semasa komuniti setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana gereja yang ingin memohon peruntukan baharu perlu mengemukakan laporan kemajuan projek yang telah siap atau separa siap sebagai satu bentuk akauntabiliti, khususnya oleh Pengerusi dan Setiausaha Gereja masing-masing.
Dalam majlis yang sama, Datuk Martin turut menyerahkan cek MRP kepada 14 penerima yang terdiri daripada persatuan, kelab dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan di DUN Kedup.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Anthony Siong
UKAS Bahagian Serian