Kerajaan Sarawak Tanggung RM500 Juta Untuk Pusat Kanser Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju menanggung pembiayaan peralatan kesihatan bernilai RM500 juta bagi Pusat Kanser Sarawak, sekali gus menjadikan kos keseluruhan projek itu berjumlah RM1.5 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan tersebut dibuat susulan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak menanggung kos peralatan kesihatan memandangkan ia tidak termasuk dalam kos asal pembinaan pusat berkenaan.
"Jadi, kita di Sarawak bersetujulah dan ini bermakna Pusat Kanser Sarawak akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan biarpun kita akan 'meminjamkan' dana terlebih dahulu untuk pembinaan pusat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kerajaan sanggup menanggung perbelanjaan terlebih dahulu termasuk menanggung sepenuh peralatan demi kebaikan rakyat Sarawak yang memerlukan rawatan bagi kanser terutamanya kos perbelanjaan yang ditanggung pesakit.
Jelasnya, pesakit tidak perlu dibawa ke luar Sarawak untuk mendapatkan rawatan kanser sekali gus mampu mengurang kos perbelanjaan pengangkutan termasuk perbelanjaan ahli keluarga yang mengikuti.
"Jadi, kita nak bantu rakyat walaupun kita membayar dahulu dana pembinaan pusat ini sebab mereka (Kerajaan Persekutuan) akan membayar balik tapi peralatan kita tanggung sendiri.
"Insya-Allah asal rezeki kita jadi saya minta doalah agar Sarawak ditambahkan rezekinya," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai Kabinet Persekutuan yamg baharu, Premier Sarawak menzahirkan terima kasih kerana mengekalkan jumlah Menteri dari Sarawak seramai lima orang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus