BALINGIAN: Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS), inisiatif Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), terus memberi manfaat kepada rakyat apabila menawarkan bekalan makanan pada harga lebih berpatutan berbanding pasaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, JASS merupakan program yang selari dengan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara serta Dasar Pertanian Negara 2.0, khususnya dalam aspek keterjangkauan dan keselamatan makanan.
“Program ini telah dilancarkan pada 30 Ogos 2025 oleh Menteri MFICORD Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan dilihat sebagai satu usaha berimpak tinggi dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Anjung Selera Balingian pada Isnin.
Program JASS dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan yang menawarkan komoditi termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur, ikan dan daging.
Melalui penganjuran JASS di kawasan DUN Balingian, penduduk setempat berpeluang menikmati penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Nilai jualan program ini dianggarkan sebanyak RM25,000 dan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 isi rumah.
Antara objektif utama program ini ialah mempromosikan produk keluaran pertanian Sarawak, di samping berperanan sebagai salah satu program ‘Quick Win’ berkonsep kos rendah tetapi berimpak tinggi dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Selain itu, JASS turut meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bekalan makanan segar kepada pengguna pada harga berpatutan, serta membuka peluang pasaran tambahan kepada peserta Program Ladang Kontrak dan usahawan tempatan melalui konsep jualan terus kepada pengguna.
Program ini juga dijangka menyumbang kepada peningkatan purata nilai jualan sebanyak lima peratus setahun, selain menggalakkan amalan pemakanan sihat menerusi inisiatif kempen makan buah-buahan tempatan, sekali gus membantu masyarakat mengenali keistimewaan hasil pertanian tempatan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pemasaran Industri Agromakanan) FAMA Negeri Sarawak Adeyong Tomick.-EDISI UKAS