HDC Nafi Dakwaan Berkaitan Program Rumah Sri Pertiwi
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menafikan sebarang dakwaan yang mengaitkan perbadanan itu dengan isu pengagihan, penyewaan atau penyalahgunaan rumah di bawah Program Rumah Sri Pertiwi yang tular di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi pada Isnin, HDC menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan boleh mengelirukan orang awam.
HDC menjelaskan bahawa Program Rumah Sri Pertiwi merupakan inisiatif perumahan mampu milik Kerajaan Sarawak yang disasarkan kepada golongan berpendapatan antara RM4,000 hingga RM10,000.
Menurut HDC, pelaksanaan program tersebut adalah terbuka kepada pembangunan oleh pihak kerajaan atau sektor swasta, tertakluk kepada dasar serta kelulusan Kerajaan Sarawak.
Setakat ini, projek Program Rumah Sri Pertiwi yang melibatkan HDC melalui kerjasama strategik masih berada dalam peringkat pembinaan.
Sehubungan itu, HDC memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih dan menyeru orang ramai agar menghentikan serta tidak meneruskan penyebaran dakwaan tersebut.
Sebarang maklumat rasmi hanya boleh diperoleh dengan menghubungi HDC menerusi talian 082-444381 atau laman web hdc.sarawak.gov.my.-EDISI UKAS