AirBorneo Lengkapkan Pengambilalihan MASwings, Perkukuh Keterhubungan Udara Serantau
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo Holdings Sdn Bhd memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Majlis bersejarah pemuktamadan pengambilalihan itu diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu melibatkan delegasi dari AirBorneo Holdings dan Malaysia Aviation Group (MAG).
Hadir mewakili AirBorneo Holdings ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Holdings Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman, Datu Hasmawati, Kong Fook Ann, Rosleenda Sayumi, Megat Adrian Wira dan Bruno Navet.
Manakala MAG diwakili Suresh Singam, Bryan Foong Chee Yeong, Captain Nasaruddin A. Bakar dan Nur Syafiqah.
Turut hadir rakan strategik dan perundangan termasuk Dato Azmi dari Azmi & Associates serta wakil Rahmat Lim & Partners iaitu Azman Othman Luk dan Moy Pui Yee, yang memainkan peranan penting dalam memuktamadkan urus niaga berkenaan.
Menurut kenyataan dari AirBorneo yang dikeluarkan hari ini, dengan lengkapkan pengambilalihan tersebut, syarikat tersebut akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab undang-undang dan operasi MASwings berkuat kuasa 1 Januari 2026, susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli antara Kerajaan Sarawak dan MAG pada 12 Februari 2025.
Dalam fasa peralihan awal ini, penjenamaan MASwings akan diteruskan, sementara AirBorneo melaksanakan pelancaran identiti jenama baharunya secara berperingkat.
“AirBorneo menghargai kerjasama dan kefahaman para penumpang, rakan kongsi serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini.
“Pengambilalihan ini menyokong objektif strategik Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh keterhubungan udara serantau serta memastikan tambang yang mampu milik bagi Sarawak dan rakyatnya.
“Ia merupakan satu langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri secara menyeluruh, di samping meletakkan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya syarikat penerbangan ini sebagai AirBorneo,” menurut kenyataan tersebut.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka sepanjang proses transaksi dan peralihan ini.
Tambahnya, maklumat lanjut berkaitan hal ehwal operasi dan proses peralihan yang sedang berjalan akan dimaklumkan oleh AirBorneo dari semasa ke semasa.