Pusat Khidmat Masyarakat DUN Simanggang Agih 2,513 Kalendar Tahun Baharu 2026
SIMANGGANG: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Simanggang telah selesai mengagihkan sebanyak 2,513 kalendar Tahun Baharu 2026 kepada penduduk di sekitar kawasan bandar Simanggang.
Majlis simbolik pengagihan kalendar tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan, Datuk Francis Harden Holis di salah sebuah premis perniagaan di bandar ini pada 1 Januari lalu.
Pengagihan kemudiannya diteruskan oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Simanggang dengan menyantuni pemilik kedai, peniaga makanan serta penduduk yang ditemui di sekitar bandar Simanggang.
Dua Ketua Kaum Cina Bandar Simanggang, Tay Buan Boon dan Ling Siew Gung, turut memikul tanggungjawab bagi memastikan pengagihan kalendar berkenaan berjalan lancar sehingga selesai dilaksanakan kelmarin.
Ketika dihubungi, Ling berkata pengagihan kalendar tersebut bertujuan mempamerkan hubungan erat antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang dengan penduduk setempat.
Menurut beliau, inisiatif itu juga merupakan tanda penghargaan SUPP kepada penduduk DUN Simanggang yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerajaan selama ini.
“Semoga pengagihan kalendar Tahun Baharu 2026 ini dapat terus mengeratkan perpaduan serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di DUN Simanggang,” katanya.-EDISI UKAS